Sunday 13 May 2018

Kesangsian terhadap agama anutan membuatkan hatiku sering gelisah dan tidak tenang. Semuanya bermula apabila saya terbaca sebuah buku tentang agama Islam iaitu AZAB NERAKA DAN AZAB KUBUR. Tanpa disedari, kesan daripada buku tersebut telah membuat hati dan minda saya untuk memikirkan kembali kebenaran agama yang kami anuti sekeluarga.


Selepas memeluk agama Islam pada 23 September, 2000, berusia 20 tahun ketika itu, saya menukar nama kepada Nor Hayati Nia Ellen Binti Abdullah. Saya berasal daripada golongan keluarga yang kuat pada pegangan agama Kristian Seventh-Day Adventist (SDA) di Sabah. Malahan kebanyakan ahli keluarga saya merupakan penganut Kristian yang aktif dalam menjalankan aktiviti keagamaan. Semasa mendiang ayah masih hidup, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Gereja.


Saya sendiri bekas penuntut sekolah mubaligh agama Kristian SDA di Seventh-Day Adventist Secondary School Tamparuli, Sabah. Walaupaunn terpaksa mengeluarkan belanja yang besar kerana bersekolah swasta namun keluarga tetap nekad untuk menghantar saya bersekolah di situ semata-mata supaya saya lebih menjurus kepada bidang keagamaan.


Agama Kristian sendiri mempunya banyak mazhab yang terdiri daripada penganut Kristian RC, GYB, BASEL, Protestan dan bermacam-macam lagi. Agama Kristian SDA adalah salah satu agama Kristian yang mengharamkan penganutnya makan daging khinzir dan makanan laut. Segala amalan tersebut diikuti tanpa keraguan sehinggalah apabila saya mengenali agama Islam.


Buku pertama mengenai ajaran Islam yang saya baca benar-benar meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada diri saya, iaitu mengenai azab neraka dan azab kubur. Sehingga menimbulkan rasa takut dan keinsafan yang mendalam secara rohani. Tambah mengelirukan, apabila ajaran tersebut amat bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama asal, Kristian SDA.


Antara isi kandungan buku tersebut yang saya masih ingat hingga kini iaitu mengenai wujudnya seksaan kubur. Sementara dalam ajaran agama Kristian SDA, mengatakan bahawa apabila matinya kaum Adam maka tidurlah ia dengan aman sehinggalah pada hari kebangkitan. Masa itu saya mula keliru dan tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapa ajarannya tidak sama.


Dari situlah saya mula banyak mengkaji mengenai ajaran agama Islam. Saya dapati konsep yang diguna pakai oleh ajaran agama Kristian SDA jelas menggambarkan penyekutuan terhadap Tuhan. Ia begitu mengelirukan saya. Dalam Holy Bible turut menguatkan lagi kekeliruaan saya yang mana didalamnya dinyatakan satu ayat, "Tuhan itu Esa". Akan tetapi wujud pula kenyataan "Allah Bapa", "Allah Anak", dan "Roh Kudus" iaitu konsep "Trinity" sedangkan kami percaya bahawa Tuhan Maha Berkuasa. Namun mengapa perlu ada tiga cabang untuk mentadbirkan alam semesta. Ternyata ajaran dan kepercayaan tersebut menyebabkan kesangsian yang mendalam dalam jiwa saya, seterusnya mula membuat perbandingan antara dua agama.


Kepercayaan kembali bertaut dan pencarian saya mula menemui titik noktah apabila ajaran agama Islam yang dikaji mempunyai garis panduan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup untuk semua umatNya. Kepercayaan bahawa Allah itu Maha Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan begitu berasas sekali. Dalil tersebut jelas membuktikan Allah yang Maha Berkuasa mentadbir seluruh alam semesta ini tanpa kudrat daripada mana-mana makhluk yang lain.


Beberapa amalan yang menjadi pegangan penganut Kristian SDA yang mengumpamakan air anggur tanpa alkohol sebagai darah Tuhan dan sekeping roti tidak beragi pula, adalah melambangkan tubuh Tuhan begitu memusykilkan saya. Persoalan yang sering bermain di minda, mengapa Tuhan yang disembah dan diagung-agungkan dimakan dan diminum serta mengapa menyamakan Tuhan dalam bentuk lain.


Walau baik mana sekalipun amalan seseorang itu, namun jika tidak beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, neraka tetap kekal baginya. Oleh sebab itu, saya tidak teragak-agak mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam.
Bagaimanapun saya mengakui memilih satu agama yang kekal sebagai anutan bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Ini kerana keputusan itulah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia di akhirat kelak. Memikirkan bahawa agama Islam satu-satunya agama yang benar di sisi Allah, maka keputussan saya untuk memeluk agama Islam berlaku dengan kerelaan hati tanpa paksaan daripada sesiapa.


Walaupun selepas itu, saya berdepan dengan tentangan dan kemarahan daripada keluarga yang terkenal sebagai penganut agama Kristian SDA yang setia namun saya tetap teguh dengan pendirian terhadap agama Islam yang dipilih menjadi pegangan hidup. Oleh kerana saya bekerja di Johor sementara keluarga pula di Sabah, maka kemarahan tersebut tidak berlaku di depan mata. Namun setiap kali pulang ke kampung, mereka pasti memujuk dan menasihati agar kembali ke agama asal.


Namun, kuasa Allah SWT tiada siapa yang dapat mengagaknya. Walaupun keluarga tidak berpuas hati dengan tindakan saya menukar agama namun berkat doa yang tidak henti menyebabkan akhirnya keluarga dapat menerima saya kembali.


Menuntut ilmu dan terus mendalami ajaran Islam menjadi misi utama saya sebaik melafazkan dua kalimah syahadah. Perasaan sebak dengan sendirinya timbul ketika itu membuahkan satu azam untuk mengabdikan diri sebagai hamba Allah yang sebenar kepada Penciptanya. Kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah SWT kerana diberikan hidayah untuk mengenali dan mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup.


Alhamdulillah, selepas mengakui tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, hati saya tidak lagi keliru untuk terus tekad menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai pegangan hidup. Berazam untuk menimba ilmu sebanyak mungkin sebagai pedoman menuju kejayaan dunia dan akhirat.


Justeru saya mengikuti kelas Fardhu Ain untuk Saudara Baru oleh Jabatan Agama Negeri Johor sejak awal penghijrahan. Saya amat berterima kasih kepada guru-guru yang banyak mengajar saya mendalami agama Islam. Walaupun pada awalnya, saya langsung tidak tahu membaca Al-Quran tetapi kini alhamdulillah saya boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Malahan, saya telah ditauliahkan dan memegang sijil sebagai Guru Al-Quran Daerah Johor Bahru. Disamping meminati ilmu Tajwid Al-Quran, saya juga sangat meminati ilmu Tarranum Al-Quran. Sekurang-kurangnya, saya dapatkan turunkan ilmu kepada zuriat saya sendiri.


Alhamdulillah, bertemu jodoh dengan seorang saudara baru juga semasa belajar di kelas Saudara Baru Daerah Johor Bahru, berbangsa Cina. Mohd iLham Tiong Tai Seng Bin Abdullah, dan kini kami telah dikurniakan 5 cahaya mata, dan kini menetap di Kuantan, Pahang. Ilmu agama, tidak akan pernah ada penghujung sebab itu, kami jika berlapangan masih menimba ilmu di Kelas Untuk Muallaf yang diadakan di Masjid Negeri Pahang, setiap hujung minggu.


Sedikit perkongsian daripada saya.
Nor Hayati Nia Ellen Binti Abdullah
Unit Trust Consultant Bertauliah

Public Mutual, anak syarikat Public Bank
Cawangan Kuantan, Pahang